Monday 26 March 2012

Kerana kaki lipas, dapat ganti rugi RM55,000.00

Assalamulaikum... Hampir berhabuk Nurha tinggalkan blog ni tanpa update sebarang cerita..huhu... Sejak syarikat kami diberi pengiktirafan 5 star oleh Teraju (SME Corp) rasanya semakin banyak workload yg terpaksa ditanggung.. Ape boleh buat kan, demi sesuap nasi..hehe.. 

Hari ini Nurha ada terbaca artikel menarik untuk dikongsi, iaitu "kerana kaki lipas, dapat ganti rugi RM55,000.00". Ceritanya berbunyi begini.

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen memerintahkan Pizza Hut Restaurants Sdn Bhd membayar ganti rugi RM55,000 kepada pensyarah kolej swasta yang sakit selepas menikmati hidangan 'spageti bolognese' yang mengandungi kaki lipas.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebulat suara, menolak permohonan syarikat itu untuk kebenaran bagi merayu di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff yang mengetuai korum itu bersama dua Hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Aziah Ali dan Anantham Kasinater juga memerintahkan restoran segera itu membayar RM3,000 sebagai kos.

Anantham berkata perintah ganti rugi RM55,000 kepada Goh Sze Ching itu membuktikan Mahkamah Sesyen menghantar isyarat yang jelas kepada restoran makanan segera supaya sentiasa menjaga kebersihan makanan.

Md Rais berkata, "Ia adalah untuk kebaikan masyarakat."

Pada 11 Okt 2010, Mahkamah Sesyen Shah Alam menganugerahkan Goh, 30, ganti rugi am sebanyak RM5,000, ganti rugi teladan RM50,000, kos dan faedah lapan peratus selepas memutuskan Goh berjaya membuktikan kesnya iaitu Pizza Hut Restaurants bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Syarikat itu gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen selepas ditolak oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 17 Okt tahun lepas.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, peguam N. Ganesarajah berkata Pizza Hut telah membayar ganti rugi kepada Goh. Ganesarajah dan Khairul Idzwan Kamarudzaman mewakili Goh.

Goh dan rakan beliau telah mengunjungi restoran Pizza Hut di Subang Parade, Subang Jaya pada pukul 5.30 petang, 26 Sept 2007.

Dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan pada 2009, Goh berkata beliau sedang makan spageti apabila menemui satu 'objek' di dalam makanannya. Selepas melihat dengan teliti bersama rakannya, beliau mendakwa objek itu adalah kaki lipas.

Susulan kejadian itu, Goh mendakwa beliau mengalami kesakitan, muntah serta cirit-birit.

Pizza Hut Restaurants, yang diwakili peguam S. Sharmalah dan V. Veena berkata objek yang dipertikaikan di dalam makanan itu adalah bawang goreng.

Terdahulu, Sharmalah berhujah Goh tidak harus dianugerahkan ganti rugi teladan, sambil menambah keterangannya tidak konsisten.

Bagaimanapun, Ganesarajah berhujah tiga wakil Pizza Hut Restaurants telah mengesahkan wujud masalah lipas di restoran berkenaan sebelum dan selepas kejadian itu. 

Walaupun cerita ini berlaku beberapa tahun yang lalu, kita harus menjadikannya sebagai iktibar agar memilih tempat makan yang bersih dari segi cara penyediaanya dan kebersihannya. Restoran 'fast food' sekalipun, jangan fikir bahawa tahap kebersihannya berada di tahap yang terbaik. Cerita ini sebagai teladan dan pengajaran kita bersama, sekian..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...